JAKARTA: Polis Indonesia menyiasat 97 syarikat, termasuk 22 syarikat yang mempunyai kaitan dengan pihak asing, berhubung kes kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara itu, dengan 20 syarikat dikenal pasti sebagai suspek.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim), Komisioner Jeneral Asep Safrudin, berkata 16 daripada 20 syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek adalah syarikat pelaburan domestik, manakala empat lagi adalah syarikat pelaburan asing.
"Jumlah syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek mungkin meningkat apabila siasatan diteruskan," katanya pada sidang media di Pontianak, Kalimantan Barat yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial, hari ini.
Asep berkata, syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek sudah melantik wakil pengurusan bagi menghadapi prosiding undang-undang, dengan kertas siasatan akan dikemukakan kepada pendakwa raya sebelum kes dibawa ke mahkamah.








