KOTA KINABALU: Enam lelaki dengan keseluruhan 75 rekod jenayah dan dadah diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan rompakan berkumpulan bersenjata serta pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.
Semua suspek berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Op Casa/Op Pintu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kumpulan berkenaan dipercayai terbabit 17 kes jenayah sejak Januari hingga Ogos lalu dengan jumlah kerugian dianggarkan RM304,500.
Katanya, kegiatan kumpulan itu mula dikesan susulan dua kejadian rompakan berkumpulan bersenjata dan pecah rumah yang berlaku secara berasingan di sekitar Kota Kinabalu pada Ogos lalu.










