Nilai: Suspek yang juga suami kepada seorang wanita yang dipercayai dibunuh di Kuarters KLIA, di sini, Khamis lalu didapati mempunyai 16 rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, ia berdasarkan semakan yang dilakukan pihaknya terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan.

"Hasil semakan rekod lampau, polis mendapati suspek kes bunuh isterinya di tingkat tiga sebuah unit rumah kakitangan awam Khamis lalu mempunyai 16 rekod jenayah.

"Sebanyak 10 rekod membabitkan kesalahan narkotik, manakala enam lagi membabitkan kes pecah rumah, curi dan memiliki barang curi," katanya ketika dihubungi, semalam.