KUALA LUMPUR: Tindakan sekatan pentadbiran oleh badan pengurusan strata terhadap pemilik yang culas membayar caj penyelenggaraan bukan satu lesen mutlak untuk menghalang sepenuhnya pemilik daripada memasuki unit hak milik mereka sendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata prinsip itu ditegaskan menerusi keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Oktober dalam kes SL Land Sdn Bhd dan Foong Wei Ching menentang JMB Sentral Bazar Nilai.

"Mahkamah memutuskan bahawa meskipun pihak pengurusan berhak mengenakan sekatan statutori, sekatan tersebut tidak boleh melangkaui batas sehingga melucutkan hak pemilik untuk mengakses dan menikmati unit miliknya," menurut jawapan beliau yang dibacakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.