KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menggerakkan pelbagai langkah yang dirancang untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu digariskan di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong usaha berkenaan.
"Kini, keutamaan adalah untuk memastikan semua perancangan ini dilaksanakan. Antara keperluan terpenting bagi pembangunan industri di Sabah ialah bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik.








