KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan ahli-ahli Dewan Negara, juga para pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama Raja, pengaruh istana atau gelaran yang disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

Mereka juga diingatkan supaya tidak menggunakan kedudukan tersebut untuk mencari laba dan peluang perniagaan, atau membenarkan diri diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa.

Baginda menitahkan mereka supaya jauhilah rasuah, jauhi salah guna kuasa dan jauhi sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta boleh mencemarkan nama baik takhta dan istana.

“Kedudukan yang dikurniakan hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti. Jangan benarkan kedudukan dijadikan alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar hari ini.