Klang: Pentadbiran Istana Selangor menyerahkan isu individu menyamar sebagai pengawal peribadi sulit kepada Raja Muda Selangor dengan memperdaya orang ramai kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Istana Alam Shah, Klang berkata, pentadbiran Istana Selangor mengambil maklum dan menerima laporan polis berkaitan individu terbabit.

Menurutnya, ia berkaitan kes memperdayakan orang awam mengenai urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk meraih keuntungan peribadi.

Katanya, pihak Istana Selangor memandang serius terhadap isu itu dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.