KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian untuk memperkenalkan had masa skrin automatik bagi kanak-kanak, termasuk rehat wajib selepas penggunaan berpanjangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata beliau dan rakan sejawatnya dari beberapa negara ASEAN sedang membincangkan kaedah untuk mengaktifkan had berkenaan secara lalai, tanpa memerlukan ibu bapa mengaktifkannya sendiri.
"Sebagai contoh, kanak-kanak yang menonton YouTube Shorts boleh dihadkan kepada sejam, selepas itu mereka perlu berehat seketika.
"Kita harap semua platform yang mempunyai 'autoplay' boleh meletakkan had masa penggunaan supaya anak-anak boleh berehat," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat di sini, hari ini.








