Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, banyak ibu bapa tidak sedar mereka boleh manfaatkan ciri kawalan ibu bapa (parental control) sedia ada pada peranti untuk hadkan masa skrin anak-anak.KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian bagi memperkenalkan had masa skrin automatik untuk kanak-kanak, termasuk rehat mandatori selepas penggunaan berpanjangan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau bersama rakan sejawatnya dari beberapa negara Asean sedang membincangkan kaedah bagi mengaktifkan had tersebut secara lalai (default), tanpa memerlukan ibu bapa menetapkannya secara manual.

"(Sebagai contoh), anak-anak menonton YouTube Shorts, dihadkan tontonan pada satu jam. Selepas itu, akan 'cool off' untuk sementara waktu,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.