Kuala Lumpur: Masa depan anak penuh dengan pelbagai kemungkinan dan jika sekarang ini mereka masih kecil serta sibuk bermain, namun beberapa tahun akan datang, mereka mungkin sudah mempunyai cita-cita dan impian.
Bagi ibu bapa, persediaan untuk masa depan anak bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata kerana ia memerlukan perancangan serta usaha yang dimulakan lebih awal termasuk menyediakan simpanan pendidikan.
Menerusi kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengetengahkan kepentingan menabung sebagai antara bentuk persediaan ibu bapa untuk masa depan pendidikan anak.
BMS2026 berlangsung dari 25 September hingga 1 November depan. Mengetengahkan tema "Di bawah lautan (under the sea)', perjalanan menabung diibaratkan seperti menyelami dasar laut yang penuh dengan pelbagai perkara untuk diterokai. Semakin jauh seseorang menyelam, semakin banyak yang dapat ditemui dan begitu juga perjalanan hidup seorang anak yang mempunyai pelbagai peluang serta kemungkinan di hadapan.










