KUALA LUMPUR - Tafsiran utama kalimah lighad dalam surah al-Hasyr ayat 18 merujuk kepada hari akhirat, namun semangat dan pengajarannya wajar diambil iktibar dalam merancang masa depan dan urusan kehidupan dunia, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.Ahmad Fauwaz menerusi perkongsian Tinta Mufti di laman web Jabatan Mufti Wilayah berkata, perkara itu, susulan perbincangan masyarakat berhubung penggunaan kalimah berkenaan.Beliau berkata, perbahasan itu tertumpu kepada persoalan sama ada kalimah itu boleh dikaitkan dengan perancangan masa depan, sedangkan para ulama tafsir secara umumnya menjelaskan perkara itu merujuk kepada hari akhirat."Dalam meneliti persoalan ini, penting untuk dibezakan antara tafsiran sesuatu ayat al-Quran berdasarkan maksud yang dikehendaki oleh nas, dengan penghayatan terhadap pengajaran dan petunjuknya dalam kehidupan manusia."Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam disiplin memahami al-Quran dan tidak sewajarnya dicampuradukkan sehingga mengubah maksud asal ayat atau menyempitkan ruang pengambilan iktibar daripadanya," katanya.Ahmad Fauwaz berkata, huraian mufassir terkemuka seperti Imam al-Tabari, Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan Imam Fakhr al-Din al-Razi yang secara umumnya mentafsirkan lighad sebagai persediaan menghadapi hari kiamat dan dihisab atas segala amalan."Berdasarkan huraian para mufassir ini, jelas bahawa maksud utama kalimah lighad dalam konteks surah al-Hasyr ayat 18 ialah hari akhirat, khususnya hari manusia akan dihisab dan menerima balasan atas segala amalannya."Oleh itu, tidak tepat sekiranya maksud hari akhirat diketepikan dan digantikan sepenuhnya dengan pengertian masa depan duniawi," katanya.Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak bermakna pengajaran yang terkandung dalam ayat berkenaan terbatas kepada persoalan akhirat tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan dunia.Beliau berkata, prinsip muhasabah, persediaan dan tanggungjawab terhadap kesan sesuatu perbuatan yang terkandung dalam ayat berkenaan sangat relevan untuk dijadikan panduan dalam urusan keluarga, masyarakat, ekonomi serta pentadbiran negara."Hari akhirat merupakan maksud utama yang ditunjukkan oleh ayat, manakala kepentingan merancang masa depan dunia merupakan antara pengajaran yang boleh diambil daripada semangat dan tuntutan ayat itu."Perbahasan mengenai sesuatu ayat al-Quran sewajarnya dilakukan dengan adab, ilmu dan ketelitian. Masa depan yang dirancang dengan amanah hendaklah menjadi sebahagian daripada usaha membina bekalan untuk masa depan akhirat yang pasti akan tiba," katanya. - Bernama