KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 12 November untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan terhadap rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kelayakan hasil 40 peratus Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli menangguhkan keputusan itu, selepas mendengar hujahan lebih tiga jam daripada semua pihak, iaitu perayu, Kerajaan Persekutuan serta pihak responden, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Kerajaan Negeri Sabah.

Panel yang turut dianggotai oleh hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh, bersidang bagi mendengar rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap perintah mandamus Mahkamah Tinggi, yang mengarahkan kedua-dua kerajaan mengadakan semakan dan mencapai persetujuan berhubung pemberian khas bagi tempoh 1974 hingga 2021.