KUALA LUMPUR: Misi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memburu gelaran pertama sejak Terbuka Australia 2024 terus tertangguh apabila tewas kepada pemain nombor sembilan dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan kedua Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, sebentar tadi.

Pada aksi di Saarlandhalle itu, Zii Jia tewas 11-21, 21-13, 14-21 dalam tempoh 63 minit.

Selepas gagal menemui rentak pada set pertama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu bangkit dengan corak permainan lebih agresif pada set kedua untuk menguasai perlawanan dan memaksa aksi ke set penentuan.

Zii Jia turut memanfaatkan pukulan kilas yang menjadi antara senjata utamanya untuk meraih mata penting sebelum mengesahkan kemenangan 21-13 bagi mengikat kedudukan.