KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Mauritius selepas pihak berkuasa merampas bahan disyaki ganja dianggarkan bernilai 26.88 juta rupee Mauritius (RM2.3 juta) yang disembunyikan dalam bagasinya, 23 Oktober lalu.

Lelaki berusia 55 tahun dan bekerja sebagai tukang masak itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, selepas tiba dengan penerbangan dari Dubai.

Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan, suspek tiba menaiki penerbangan Emirates EK709 sebelum ditahan ketika melalui laluan hijau kastam.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan pegawai Bahagian Anti Narkotik Kastam (CANS) selepas suspek dikenal pasti melalui pemeriksaan profil penumpang dan sesi soal jawab.