PETALING JAYA – Seorang tukang masak warga Malaysia ditahan selepas 17.88 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira RM2.3 juta ditemukan dalam beg pakaiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, Plaisance, Mauritius, pada 23 Oktober lalu.

Memetik laporan Defimedia.info, dadah berkenaan ditemukan dalam 17 bungkusan mampat ketika pemeriksaan terhadap penumpang pesawat EK709 dari Dubai yang tiba kira-kira pukul 3 petang.

Pada hari kejadian, pegawai Unit Anti Dadah dan Penyeludupan (ADSU) bersama Bahagian Antinarkotik Kastam (CANS) menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa penumpang yang menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa.

Beg pakaian milik suspek, yang bekerja sebagai tukang masak, kemudian diperiksa menggunakan pengimbas sebelum pemeriksaan lanjut menemukan dadah seberat 17.88kg dengan nilai pasaran dianggarkan 25.5 juta rupee Mauritius.