Melaka: Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee, pada majlis pengumuman calon BERSATU di Klebang di sini, malam ini, mencetuskan spekulasi beliau bakal kembali mencabar kerusi yang pernah dimenanginya itu.
Ketibaan Norhizam yang dikenali sebagai 'YB Beliau' di Bilik Gerakan Utama BERSATU di Klebang itu dikaitkan dengan kemungkinan dicalonkan semula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, kawasan yang pernah diwakilinya selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket DAP.
Bagaimanapun, Norhizam memilih untuk tidak mendedahkan kerusi yang bakal ditandinginya, sebaliknya meminta media menunggu pengumuman rasmi Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.









