Kuala Lumpur: Syarikat tempatan khususnya bersaiz sederhana perlu diperkasa untuk berkembang menjadi peneraju serantau bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemajuan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Bursa Malaysia mempunyai peranan penting dalam membantu syarikat tempatan mengambil langkah berkenaan, termasuk menyediakan ruang kepada perniagaan mendapatkan modal untuk mengembangkan operasi.
"Terlalu banyak syarikat berpotensi masih kekal kecil untuk tempoh terlalu lama, sekali gus menjadikan usaha memperbesar skala perniagaan sebagai antara cabaran utama yang perlu diberikan perhatian.
"Banyak syarikat yang baik kekal kecil terlalu lama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 Bursa Malaysia di sini, hari ini.









