KUALA LUMPUR: "Bulu roma saya meremang, terkejut dan sedih sangat dapat tahu kejadian sebenar, kerana saya yang buat pesanan itu," kata wanita dikenali Fathin Aleya.

Fathin Aleya, 27, mendapat perhatian selepas berkongsi di media sosial tangkap layar mesej dihantar kepada seorang penunggang p-hailing yang tidak dibalas.

Apa yang menyedihkan, mesej itu bukan tidak dibalas kerana penunggang p-hailing itu melarikan diri, namun sebenarnya dia sudah meninggal dunia dipercayai selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Menceritakan kisah itu, Fathin Aleya yang bekerja sebagai eksekutif kewangan berkata, dia membuat pesanan cop jam 10.30 pagi semalam dan penunggang p-hailing berkenaan sepatutnya membuat penghantaran.