HYDERABAD: Malaysia dan Bangladesh mencapai kemajuan ketara dalam rundingan ke arah memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA), dengan kedua-dua negara bersetuju mengadakan pusingan kedua rundingan pada Januari depan dan menyasarkan perjanjian itu dimuktamadkan menjelang akhir 2027.

Kementerian Perdagangan Bangladesh dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pusingan pertama rundingan berakhir di Dhaka pada Khamis selepas tiga hari perbincangan.

Kumpulan kerja kedua-dua negara meneliti draf teks yang merangkumi pelbagai bab dalam perjanjian yang dicadangkan itu, termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, perdagangan digital, kastam serta peraturan asal usul.

Delegasi Malaysia pada rundingan di Dhaka itu diketuai Dr Rashidi Said, pegawai kanan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).