REMBAU – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa dihanyutkan arus banjir ketika melalui jalan di Kampung Kundur Hulu di sini, pada Khamis.Mayat warga emas berusia 74 tahun berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.20 malam.Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau tiba di lokasi pada jam 9.22 malam, dengan jarak perjalanan kira-kira dua kilometer.Komander operasi dimaklumkan oleh waris mangsa bahawa bapanya terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran NCN4998 selepas kenderaan itu dibawa arus ketika melalui jalan berkenaan.Pasukan bomba kemudian mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Kemang untuk mengeluarkan mangsa, yang merupakan lelaki warga emas berbangsa Melayu.Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Operasi yang melibatkan anggota dari BBP Rembau dan BBP Teluk Kemang itu tamat pada jam 10 malam.