KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) untuk mengekalkan kadar faedahnya pada paras 3.75 peratus hingga 4.00 peratus, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0575/0620 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.0745/0790 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur akan memantau pengukur inflasi pilihan Fed iaitu indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang dijadual diumumkan malam ini.

Indeks tersebut dijangka meningkat kepada 3.1 peratus pada September, berbanding 3.0 peratus pada bulan sebelumnya.