KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak sebanyak 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026 manakala jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat 39.6 peratus kepada RM378.70 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia dengan AS terus mencatatkan pertumbuhan meskipun eksport negara ini dikenakan tarif tambahan susulan penyiasatan di bawah pelbagai instrumen perundangan dijalankan oleh Washington.

Menurut kementerian, prestasi eksport yang kukuh didorong terutamanya oleh lonjakan permintaan produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor, susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.