KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meskipun beberapa industri tempatan berdepan tekanan susulan pengenaan tarif tambahan oleh negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor, susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

Beliau berkata pengecualian tarif tambahan AS bagi kebanyakan produk semikonduktor dan E&E turut menyokong prestasi eksport Malaysia.

"Keputusan AS ini menegaskan kebergantungan rantaian bekalan AS terhadap sektor E&E yang menyumbang kira-kira 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS. Daripada jumlah eksport E&E, 44 peratus terdiri daripada produk semikonduktor," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen malam tadi.