PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan SEMICON West 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) berjaya menjana urus niaga eksport bernilai RM453 juta (AS$110 juta).
Jumlah itu merupakan nilai tertinggi direkodkan menerusi penyertaan yang diselaraskan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di acara utama industri semikonduktor berkenaan sejak penyertaan sulungnya pada 2007.
Sebanyak 10 syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai pameran perdagangan itu tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat eksport semikonduktor Malaysia, khususnya dalam kalangan PKS tempatan.








