BELANJAWAN merupakan instrumen penting kerajaan untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan negara kepada kesejahteraan rakyat.
Pelbagai harapan disuarakan masyarakat, meliputi kos sara hidup, peluang pekerjaan, kebajikan penjawat awam, pendidikan dan perumahan. Setiap harapan ini mencerminkan keperluan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa, stabil dan terjamin.
Kos sara hidup kekal menjadi perhatian utama, khususnya ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
Rakyat mengharapkan kerajaan meneruskan usaha seperti Jualan Rahmah, subsidi bersasar dan kawalan harga barangan asas. Keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan bekalan mencukupi dan kuasa beli rakyat terus terpelihara.








