Kuala Lumpur: Eksport Malaysia meningkat 34 peratus kepada rekod RM1.571 trilion bagi tempoh Januari hingga September 2026 didorong pertumbuhan sektor bukan elektrik dan elektronik (E&E) serta peluasan pasaran ke negara bukan tradisional.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, jumlah perdagangan negara meningkat 30.1 peratus kepada RM2.91 trilion dalam tempoh itu manakala import meningkat 25.7 peratus kepada RM1.338 trilion.

Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM232.38 bilion meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan lebihan dagangan direkodkan di 158 destinasi eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, prestasi itu membuktikan daya tahan pengeksport tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik.