KUALA LUMPUR: Pembiayaan bank kepada sektor hartanah mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026, dengan jumlah pinjaman terkumpul mencecah RM134.41 bilion.
Data Bank Negara Malaysia (BNM) yang dihimpunkan BIMB Securities Research menunjukkan pembiayaan kepada sektor hartanah turut meningkat 2.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Prestasi itu mengatasi pertumbuhan keseluruhan pinjaman sistem perbankan yang berkembang 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM2.45 trilion pada bulan berkenaan.
Sektor hartanah menyumbang kira-kira 5.5 peratus daripada keseluruhan pinjaman dalam sistem perbankan setakat Ogos.
BIMB Securities Research berkata, pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah meningkat kepada 6.8 peratus pada Ogos daripada 6.4 peratus pada Julai, disokong permintaan kredit lebih kukuh daripada beberapa sektor termasuk hartanah.









