Kuala Lumpur: Tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mencecah RM10.7 bilion membabitkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memaklumkan perbadanan itu sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kelestarian jangka panjang model pembiayaannya, termasuk memperkukuh pengurusan pinjaman serta menambah baik kutipan bayaran balik.

Kementerian itu berkata, terma dan syarat pinjaman akan diperhalusi bagi memastikan pembiayaan disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan kewangan PTPTN.

"PTPTN juga akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui langkah penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat," katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen hari ini.