SEPANG: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez menantikan cabaran pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin yang mendapat lampu hijau untuk kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Malaysia minggu ini.

Martin diberikan kebenaran untuk menyertai sesi latihan bebas pertama (FP1) GP Malaysia, esok selepas melepasi pemeriksaan kecergasan oleh doktor MotoGP, Angel Charte hari ini.

Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu perlu menjalani pemeriksaan lanjut selepas FP1 sebelum diberikan kebenaran untuk meneruskan perlumbaan bagi baki hujung minggu.

Marquez yang beraksi untuk Ducati berkata, kehadiran Martin di litar adalah sesuatu yang positif, malah yakin pencabar kejuaraan itu mampu memberikan saingan sengit sekiranya turun beraksi.