IPOH – Memorandum persefahaman (MoU) strategik melibatkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Perak dapat memperkasa undang-undang syariah di negeri ini terutamanya melibatkan penyelidikan berkaitan kehakiman.
Menurut Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof, MoU itu merupakan sesi kedua selepas ia dimeterai pada 2020 dengan hasil yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Yang penting adalah penerbitan Jurnal Al-Qanun (berkaitan hukum syarak, perundangan Islam, institusi kehakiman syariah, serta analisis kes dan fatwa) telah memasuki jilid keempat dan kelima akan diterbitkan pada tahun ini.
“Kerjasama untuk mengadakan program Diploma Pascasiswazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DKGS) telah terlaksana dan ada graduan telah beramal di mahkamah syariah dengan menjadi peguam syarie termasuk di mahkamah syariah di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Mahkamah Syariah Perak, di sini, hari ini.










