Kumpulan nasyid A.N.A The Rayhan bakal mengadakan konsert sulung mereka menerusi Konsert The Rayhan Syukur 2026, sekali gus menghimpunkan semula tiga bekas anggota kumpulan Raihan, iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Zulfadzli Mustaza atau Ah Fad.

Konsert anjuran Bintang Batu Event, Magnificent G Ventures dan Million Delight Sdn Bhd itu membawa harapan untuk mengembalikan keharmonian vokal yang pernah menjadi identiti Raihan dan dirindui peminat sejak sekian lama.

Nazrey berkata, gabungan tiga anggota berkenaan menjadi tunjang utama projek itu bagi memastikan identiti vokal dan muzik yang dikenali peminat dapat dikekalkan.

Menurutnya, kerjasama yang bermula sejak Ramadan lalu bukan sahaja membawa kepada perancangan konsert berskala besar, malah mereka turut menyiapkan tiga single baharu, termasuk sebuah lagu bertemakan Ramadan dan dua lagu raya.