Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengeluarkan notis pengisytiharan aset kepada bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dan abang sulungnya, Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin.
Notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 itu diserahkan kepada dua beradik berkenaan pada 20 Oktober lalu, menghendaki mereka mengisytiharkan aset masing-masing.
Difahamkan, Nazir hadir sendiri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menerima notis berkenaan, manakala abangnya menerima notis itu di kediamannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi, mengesahkan kedua-dua individu itu sudah menerima dan mengakui penerimaan notis berkenaan.










