KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat TSH Resources Bhd diperbadankan di Singapura menerima notis daripada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) yang menghendaki kedua-duanya mengemukakan dokumen dan maklumat di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perladangan itu berkata TSH Overseas Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd menerima notis berkenaan pada 23 Oktober dan dikehendaki mengemukakan maklumat yang diminta selewat-lewatnya pada 2 November.
TSH Resources berkata, pihaknya sedang meneliti notis berkenaan dan akan berurusan dengan agensi itu sewajarnya.
Kumpulan itu mengendalikan ladang dan kilang di Sabah, Kalimantan dan Sumatera di Indonesia, selain mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor tenaga boleh baharu, lantai kayu kejuruteraan dan pengurusan hutan mampan.









