Kuala Lumpur: Kerjasama erat antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan termasuk usaha mendapatkan sokongan penaja perlu diperkukuhkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda negara menimba pengalaman di pentas antarabangsa.

Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, pendedahan menerusi kejohanan antarabangsa seperti Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan mampu membantu membentuk pemain muda yang lebih matang dan berdaya saing.

Menurutnya, kejohanan itu menjadi platform terbaik untuk menemukan pasukan dari pelbagai benua, sekali gus memberi peluang kepada pemain muda Malaysia menguji kemampuan menentang lawan yang memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.