KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Zetrix AI Bhd, My EG Sdn Bhd, dikenakan taksiran cukai pendapatan tambahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM353.13 juta pada Rabu.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Zetrix AI memaklumkan taksiran tersebut adalah berkaitan dengan penentuan harga pindahan berjumlah RM333.10 juta dan faedah yang dianggap terakru berjumlah RM20.02 juta bagi tahun taksiran 2021, 2022 dan 2023, termasuk penalti.

"Surat yang sama turut memaklumkan MyEG bahawa kerajaan Malaysia telah memfailkan saman sivil terhadap MyEG berhubung perkara ini," maklumnya.

Menurut Zetrix AI, MyEG yakin dengan kewajaran pendiriannya dan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi kepentingannya, termasuk mempertahankan pendirian tersebut melalui saluran undang-undang yang sewajarnya apabila perlu.