WASHINGTON – Dua orang maut, manakala dua lagi cedera selepas seorang pemandu disyaki mabuk merempuh sekumpulan penunggang basikal sebelum menyeret salah seorang mangsa lebih 1.6 kilometer dalam kemalangan ngeri di negeri California, lapor akhbar The Sun UK.
Suspek yang memandu kereta jenis Honda Accord dikenali sebagai Valentin Alberto Rodriguez, 38. Dia ditahan polis beberapa jam selepas kejadian langgar lari membabitkan kira-kira 30 penunggang basikal, baru-baru ini.
Menurut saluran berita KTLA, nahas berlaku sekitar pukul 10.40 malam (waktu tempatan) di Kingsley Street berhampiran Tudor Avenue ketika kumpulan terbabit menyertai kayuhan santai sempena sambutan Halloween.
Seorang saksi kejadian berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat serpihan basikal di atas jalan raya, manakala pemandu terbabit terus memecut untuk melarikan diri.










