LAWAS: Seorang pekerja lelaki berusia 62 tahun maut terkena roda rantai jentera dalam kemalangan di tapak projek pembinaan di Kilometer 21 Jalan Lawas-Trusan, berhampiran Kampung Long Temarob, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu disedari rakan sekerja sebelum memaklumkan kepada pemandu jentera.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Liong anak Tindan, berkata pemandu jentera memeriksa keadaan di lokasi sebelum mendapati mangsa terbaring di hujung jentera dipandunya.

Menurutnya, pemandu berkenaan kemudian menghubungi penyelia tapak pembinaan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.