Lawas: Pekerja lelaki berusia 62 tahun maut selepas terkena roda rantai jentera dalam kemalangan di tapak projek pembinaan di Kilometer 21 Jalan Lawas-Trusan, berhampiran Kampung Long Temarob, di sini, semalam.

Kejadian jam 1.20 tengah hari itu disedari selepas seorang rakan sekerja memaklumkan kepada pemandu jentera bahawa mangsa dipercayai terkena roda rantai jentera berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Liong Tindan berkata, pemandu terbabit kemudian memeriksa keadaan di lokasi sebelum mendapati mangsa terbaring di hujung jentera yang dipandunya.

Menurutnya, pemandu berkenaan kemudian menghubungi penyelia tapak pembinaan sebelum membuat laporan polis.