KUDAT - Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di hadapan pintu gerbang sebuah sekolah di sini, pada Rabu.Mangsa warga Filipina berusia 56 tahun dikatakan terjatuh selepas tangga yang digunakannya terkena kabel elektrik.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.31 pagi.Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer dari BBP Kudat."Mangsa merupakan seorang pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan dan pembaikan lampu di kawasan pagar sekolah."Semasa menjalankan kerja tersebut, tangga yang digunakan mangsa telah terkena kabel elektrik, menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh dan orang awam segera menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan.Katanya lagi, pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal di lokasi kejadian sebelum tindakan mengeluarkan mangsa."Pasukan bomba menghubungi pihak Sabah Electricity untuk mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan."Sebaik bekalan elektrik diputuskan, operasi menyelamat diteruskan dengan selamat," katanya.Darikson berkata, mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)."Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 9.46 pagi," katanya.