ALOR SETAR: Selepas lebih seminggu bertarung nyawa, pelajar lelaki berusia 16 tahun yang melecur 80 peratus akibat terkena renjatan kabel elektrik ketika menyertai perarakan tokong sayur di Mergong pada Selasa lalu, meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa, Khor Zhi Kang, yang juga pelajar disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik HSB bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang melecur 20 peratus pada tangan sudah sedar dan dibenarkan keluar hospital.