KUALA LUMPUR: Kira-kira 2.4 juta pelarian seluruh dunia dijangka memerlukan penempatan semula menjelang 2027, namun sasaran global itu berkemungkinan gagal dicapai susulan pengurangan kuota oleh negara penerima.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan, komuniti antarabangsa sebelum ini menetapkan sasaran 130,000 kuota penempatan semula pada 2022 untuk dicapai menjelang 2027.

"Situasi ini mencerminkan gabungan perubahan dasar di negara destinasi yang mengakibatkan penangguhan kemasukan, penetapan kriteria lebih ketat serta tunggakan dalam pemprosesan permohonan," kata agensi itu menerusi satu kenyataan.

Menurut UNHCR, penempatan semula adalah instrumen perlindungan penting yang mampu menyelamatkan nyawa golongan pelarian paling rentan dan berisiko tinggi.