BENGALURU: Lynas Rare Earths mencatatkan peningkatan hasil jualan kasar sebanyak 55 peratus kepada A$310.1 juta pada suku pertama, didorong harga jualan purata nadir bumi yang melonjak ke paras rekod, meskipun syarikat itu memberi amaran mengenai gangguan pengeluaran susulan penutupan terancang kemudahannya di Malaysia dan Kalgoorlie.

Hasil bagi suku berakhir 30 September itu lebih tinggi berbanding A$200.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya, demikian menurut laporan Reuters pada Khamis.

Bagaimanapun, hasil jualan kasar berkenaan adalah 18.2 peratus lebih rendah berbanding anggaran Visible Alpha.

Prestasi syarikat dari Australia itu disokong peningkatan harga jualan purata sebanyak 88 peratus kepada paras rekod A$102.1 sekilogram, sekali gus mengimbangi penurunan 17.7 peratus dalam jumlah jualan oksida nadir bumi.