KUALA LUMPUR: Kos sara hidup yang terus menjadi pertimbangan utama isi rumah memerlukan pendekatan bantuan yang mengambil kira keperluan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Ia khususnya bagi golongan berpendapatan rendah yang berdepan perbelanjaan harian semakin mencabar.
Dalam usaha membantu rakyat memenuhi keperluan asas, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus meneruskan pendekatan bantuan tunai dan barangan asas dengan kadar berbeza mengikut kategori isi rumah.
Langkah itu mencerminkan usaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dengan lebih meluas, melalui bantuan yang disasarkan kepada golongan memerlukan, selain mengambil kira perbezaan tanggungan dan keperluan penerima.








