SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 35 tahun yang tular kerana memandu kenderaan menggunakan tulisan bomba rescue secara melulu mempunyai rekod rawatan psikiatri akibat gangguan bipolar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan di kawasan Taman Bandar Puteri Jaya, di sini selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menerima rawatan psikiatri sejak 2017, namun tidak mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak dua tahun lalu.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya negatif,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.