Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang tular menerusi video kerana menggunakan tulisan 'BOMBA' dan dilengkapi lampu amaran khas (beacon light) bukan kenderaan rasmi jabatan itu atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.
Dalam kenyataan media hari ini, JBPM Kedah memaklumkan pihaknya mengambil serius penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam, selain menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung perkara berkenaan.
"Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan itu.










