ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan video sebuah jentera yang tular kerana menggunakan tulisan 'BOMBA' adalah kenderaan persendirian.

Kenderaan berkenaan, yang dilengkapi lampu amaran khas (beacon light) bukan kenderaan rasmi jabatan itu atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.

Dalam kenyataan media hari ini, JBPM Kedah memaklumkan pihaknya mengambil serius penggunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang awam, selain menjejaskan imej dan kewibawaan perkhidmatan kebombaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung perkara berkenaan.