KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) kini meneliti dakwaan penggunaan identiti dan maklumat peribadi yang diragui kesahihan dalam aduan yang dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bersama Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dalam kenyataan kepada BH, KPM berkata, penelitian itu susulan laporan khas BH yang membangkitkan keperluan memperketat pengurusan SISPAA bagi mengelakkan penyalahgunaan sistem berkenaan sehingga boleh menjejaskan guru.
KPM berkata, penelitian mengambil kira aspek teknikal sistem terbabit yang berada di bawah seliaan BPA, selain pengurusan aduan pula tertakluk kepada Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022: Penambahbaikan Pengurusan Aduan Awam.








