SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah memiliki RM347,800 yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank miliknya secara curang, sembilan tahun lalu.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosnani Shaikh Mahmud, 56, bermula hari ini.
Rosnani didakwa memiliki wang RM347,800 milik Lim Chwee Hoon, 61, yang diperoleh secara curang di dalam dua akaun banknya, namun gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai bagaimana dia mendapatkan wang berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Petaling Jaya State antara 24 Oktober 2017 hingga 31 Oktober 2017, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.









