SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh berkenaan seperti mana ditetapkan dalam perlembagaan negeri.

Situasi itu menuntut kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secepat mungkin bagi membolehkan Sidang DUN dapat diadakan dan seterusnya pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dilakukan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata berdasarkan perlembagaan negeri, persidangan DUN perlu diadakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.