Kuala Lumpur: Tesla memperkenalkan Robotaxi elektrik Cybercab kepada media menerusi sesi pratonton khas di sini bagi memberi gambaran lebih dekat mengenai teknologi mobiliti autonomi yang sedang dibangunkan syarikat itu.
Cybercab tampil dengan reka bentuk dua tempat duduk, pintu jenis rama-rama serta ruang pemandu tanpa stereng dan pedal pemecut atau brek konvensional.
Kenderaan itu menggunakan sistem Tesla Vision yang bergantung kepada lapan kamera untuk mengesan persekitaran dan membantu sistem pemanduan autonomi beroperasi.
Ketua Hal Ehwal Awam Tesla, Hadri Haris berkata, Cybercab dibangunkan dengan teknologi pemanduan autonomi Tahap 4, yang membolehkan sistem mengendalikan tugas pemanduan dalam keadaan operasi yang ditetapkan tanpa memerlukan pemantauan berterusan daripada pemandu.









